SALASILAH MEOR ABDUL RAHMAN
Darah yang mengalir di dalam batang
tubuh Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi daripada Daing Kuning,
seorang pendekar terbilang pada penghujung abad ke-18. Daing Kuning atau lebih
dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh
beradik anak raja Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, yang sangat-sangat
ditakuti dan dihormati di seluruh Makasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau
Melayu yang berhampiran, kerana kegagahan dan keperkasaan mereka yang tiada
tolok bandingnya ketika itu. Ketujuh-tujuh beradik ini, Daing Jalak, Daing
Celak, Daing Merawak, Daing Mempawah, Daing Telani, Daing Pelangi dan Daing
Kuning telah belayar meninggalkan tanah Bugis untuk mencari tapak penghidupan
baru. Mereka telah menjelajah ke serata kepulauan Melayu bagi mencari kawasan
penempatan yang sesuai menurut firasat masing-masing.
Dalam tahun
1813, anak-anak Raja Bugis ini telah mendarat di Kuala Larut. Tempat
persinggahan mereka dikenali sebagai Pangkalan Alur atau Relur Tujuh(kini
dikenali sebagai Ayer Kuning). Hanya Daing Kuning yang terus menetap di Relur
Tujuh dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi wujud
dan terletak di Bukit Larut). Saudara-saudara Daing Kuning yang lain telah
meneruskan pelayaran dan berpecah ke seluruh Tanah Melayu, mengikut firasat
masing-masing. Daing Kuning terkenal dengan kemahirannya bermain senjata
sundang lipas. Kedatangan orang-orang Bugis ke Tanah Melayu ini telah
memperkuatkan struktur kesultanan Melayu. Melalui bantuan kuasa Bugis, ketuanan
raja-raja Melayu telah dapat dinobatkan kembali.
Hasil
perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Pattani, beliau telah
dikurniakan seorang putera yang kemudiannya dikenali dengan panggilan Penghulu
Che’ Ngah Tambah(Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping,
Perak). Penghulu Che Ngah Tambah ialah orang yang membuka daerah Matang dan
telah dilantik oleh Sultan Perak sebagai salah seorang Orang Besar Lapan.
SALASILAH PEWARIS GAYONG
Penghulu
Che’ Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda
Mohd. Hashim. Uda Mohd.Hashim(seorang arkitek) kemudiannya mendirikan
rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan
dua orang putera. Salah seorang puteranya, Meor Abdul Rahman dilahirkan pada 21
Ogos 1915 di Kampung Lake Garden,Taiping.
Syed Zainal
Al-Attas ialah seorang hulubalang di Pahang yang terkenal dengan semangat
penentangan penjajah serta ilmu persilatan yang tinggi. Beliau adalah sahabat
karib pahlawan Mat Kilau dan Dato’ Bahaman, dan pernah menjadi penghulu di
Pekan, Pahang(di bawah pentadbiran Tok Gajah).
BERGURU DENGAN SYED ZAINAL AL-ATTAS
Ketika umur
Meor Abdul Rahman dua belas tahun barulah beliau berpeluang berguru dengan
datuknya iaitu Syed Zainal yang ketika itu sudah menjangkau ke usia 100 tahun
lebih.
Segala ilmu
dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal
Al-Attas. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun. Silat Seni Gayong semakin
sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat
ditempuhi dengan hati yang tabah.
Meor Abdul
Rahman belajar Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung
Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika
usia beliau kira-kira sepuluh tahun.(Menurut Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman,
kekandanya Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau
lebih gemarkan aktiviti bermotosikal - memiliki tiga buah motosikal).
Setelah tiga
tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya kecuali beliau seorang
telah dikhatamkan oleh Syed Zainal. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan
sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang
lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya, sehingga digelar
"buah yang tidak masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya
akan "menggantungnya secara tidak bertali". Beliau lantas mengadu
kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah
Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan
ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana
rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing
untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau
bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal.
Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana
masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti
akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,datuknya. Menurut firasat Syed
Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu
tempat yang terletak di sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh
Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan
masa pengkhataman tersebut.
Penjelasan
bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman,
namun dia terus menanti-nanti masa yang disebutkan oleh datuknya itu. Ketika
usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu
persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda
yang sedang naik, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa
beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.
PANGLIMA SENDO PERAK
Untuk
menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman
dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk
kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara
Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan,
"Kamu
nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya
pasal..."kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman
tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor
Abdul Rahman,
"Kena
sebat pun tak apa..."
"Kamu
nak apa?" titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman
menghadap.
"Tuanku,
patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku." sembah Meor
Abdul Rahman kepada baginda Sultan.
"Hah!
Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu
nak kena sebat?" Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar
kata-kata Meor Abdul Rahman, yang dirasakan seperti hendak mempersendakan
baginda.
"Tahu
tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik
boleh buktikan." ujar Meor Abdul Rahman pula.
"Pergi
angkat Puteh Lawak!" titah Sultan.
Di hadapan
Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat seorang
yang berbadan besar(Puteh Lawak) dengan menggunakan sebelah tangan sahaja.
Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak.
"Megah
sungguh kamu ni." titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa
tersebut.
Selepas
peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar
menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala
Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan
paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali
dengan 50 orang lelaki(25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling
perak dengan menggunakan jari, badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik
Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua
ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi
belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul
Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas
kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo
Perak" atau "Orang Kuat Perak".
Sejak hari
itu beliau dikenali sebagai "Rahman Sendo". Baginda juga berkenan
mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu tinggallah Meor Abdul
Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula
ke kampungnya(Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada
tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang
menjawat jawatan Panglima Perang Kiri, Perak, supaya pulang semula ke Kampung
Pokok Assam, untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang
cemburu kepada beliau.(Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini
disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan
oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah
disiat kepada dua bahagian.)
Dalam tahun
1947, kerajaan British telah menawarkan Meor Abdul Rahman jawatan sebagai
pegawai dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Ketua Polis Singapura
telah mendapat tahu rahsia kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat
sebagai Guru Kombat di Gillman Barrack. Setelah empat bulan, beliau memohon
dipindahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah(CID). Permohonan beliau diluluskan dan
beliau telah ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan dan ditugaskan menyiasat
sebarang penipuan dalam timbangan. Tidak lama kemudian beliau ditugaskan pula
di bahagian kepolisan yakni di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang
pegawai berpangkat Sarjan.
Pada tahun
1947 juga, atas jasa-jasa beliau menentang keganasan tentera Jepun, beliau
telah dikurniakan pingat keberanian King George VI oleh kerajaan Inggeris. Di
sekitar tahun ini juga beliau giat mengembangkan ilmu Silat Seni Gayong di
tanah besar Singapura. Menjelang tahun 1948, jumlah anak murid Gayong sudah
mencapai 100,000 orang, dengan 50,000 daripadanya adalah dari kepulauan
Indonesia.
Dalam tahun
1957, Sultan Kedah yang ketika itu DYMM Almarhum Sultan Badlishah telah
mewakilkan Tengku Kassim yang juga bergelar Tengku Laksamana Kedah menjemput
Meor Abdul Rahman serta rombongan Silat Seni Gayong Singapura datang ke negeri
Kedah, seterusnya mengadakan persembahan silat di Kelab Sukan Sultan Abdul
Hamid.Tujuannya ialah untuk memperkenalkan Silat Seni Gayong kepada rakyat
Kedah agar dapat dipelajari. Di Kedah, Meor Abdul Rahman telah berunding dengan
Sultan Kedah tentang permintaan baginda Sultan supaya Seni Gayong diajarkan
kepada rakyat Kedah. Beliau telah bertanya kepada Sultan Badlishah mengapa
beliau dipilih untuk mengembangkan silatnya di Kedah sedangkan di Kedah terdapat
ramai pendekar silat. Baginda Sultan telah bertitah,
"Adik
Kassim yang desak kerana main(silat) dengan Siam tak sampai dua minit dah
kalah. Beta dengar Cikgu pernah kalahkan orang-orang Siam dan tangkap sehingga
terjelir lidah..."
Pada awalnya
Meor Abdul Rahman berasa keberatan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong di
Kedah kerana menghormati pendekar-pendekar silat yang telah sedia ada di Kedah.
Walaupun beliau telah mengemukakan pelbagai alasan, akhirnya beliau terpaksa
menurut kemahuan Sultan apabila baginda menghantar anggota Polis untuk
menjemput Meor Abdul Rahman mengajar di Kedah. Baginda telah bertanya kepada
Meor Abdul Rahman tentang rahsia berjalan di atas bara api yang baginda
saksikan sendiri dalam demonstrasi di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid.
Dalam tahun
1959, Meor Abdul Rahman bertemu dengan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar di
Alexandra,Singapura. Sebelum daripada itu, Meor Abdul Rahman telah mendapat
isyarat daripada bapanya, Daing Uda Mohd.Hashim menyuruh Meor Abdul Rahman
mencari seorang murid yang tua, yang keningnya telah putih. Menurut Daing Uda
Mohd.Hashim yang sedang "keturun tok nenek"(diresapi semangat ghaib
pahlawan dahulu kala/didatangi rohaniah nenek moyang) ketika itu, orang itulah
yang boleh merebakkan Gayong. Orang tersebut tinggal di seberang Tambak Johor.
Sejak dari itu, Meor Abdul Rahman mula mencari orang yang dimaksudkan. Pada
masa yang sama Dato' Onn juga mendapat firasat untuk mencari Meor Abdul Rahman.
Dalam pertemuan tersebut, Dato' Onn telah berkata,
"Jika
betul awak keturunan Raja Bugis, cuba tukarkan bunga melur ini kepada benda
lain..."
Meor Abdul
Rahman pun membaca sepotong doa lalu dihembuskan kepada bunga melur tersebut.
Dengan takdir Allah, bunga tersebut telah bertukar menjadi batu akik. Dato’ Onn
pun melamar untuk menjadi murid Gayong dan lamarannya telah diterima oleh Meor
Abdul Rahman. Atas nasihat dan usaha Dato’ Onn, Silat Seni Gayong pun
didaftarkan di Johor Bahru dan dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong
(No. Pendaftaran 361/tahun 1962, Johor Bahru). Dato’ Onn dilantik sebagai
Penasihat dan beliau sendiri menjadi Pengerusi. Dengan terdaftarnya Silat Seni
Gayong, maka aktivitinya dapat dijalankan dengan lebih bersistematik dan
efektif. Dari Singapura, Silat Seni Gayong telah bertapak di Johor. Di Johor
Bahru, terletak pejabat Gayong iaitu di Jalan Yahya Awal, iaitu di rumah Cikgu
Ibrahim. Ahli jawatan kuasa pusat ketika itu terdiri daripada Cikgu Ibrahim,
Hajjah Asmah, Cikgu Kadir(ayahanda Cikgu Abd.Rahman) dan beberapa orang ahli
jawatankuasa yang lain. Gelanggang latihan silat yang terawal di Johor ialah di
Jalan Puteri, iaitu di kediaman Dato' Onn Jaafar. Antara murid-murid Gayong
Johor yang awal ialah anak-anak Dato' Onn sendiri iaitu antaranya,
Fuzi(berkahwin dengan Jeneral Ghazali Mohd.Seth) dan Tun Hussein Onn
sendiri(Perdana Menteri Malaysia yang Ketiga).
Dalam tahun
1961, Meor Abdul Rahman bersara dari jawatan sebagai mata-mata gelap dan terus
menceburkan dirinya dalam perniagaan. Segala aktiviti Gayong beliau jalankan di
tempat kediamannya di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Pada sekitar tahun
1960, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Pendita Za'ba di
Singapura. Pendita Za'ba adalah berketurunan Bugis. Beliau telah diminta oleh
Mahaguru Meor Abdul Rahman untuk melukis lambang Gayong iaitu yang terdiri
daripada gambar seekor naga, sempena peristiwa kelahiran beliau yang
berkembarkan seekor ular yang telah bertukar menjadi naga. Dengan bantuan Cikgu
Nor Aidil, sijil Gayong yang berasaskan lambang naga satu ini kemudian direka
bentuk.
SENI GAYONG DI SELANGOR
Pada awal
tahun 1960-an(sekitar tahun 1963), Tony Razman(bintang filem) bersama-sama
Harun telah pergi ke Singapura untuk menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman. Mereka
telah memohon kepada Meor Abdul Rahman agar memperturunkan pelajaran Gayong
kepada sekumpulan murid di Selangor. Mahaguru Meor Abdul Rahman telah
memperkenankan permintaan mereka. Dengan menaiki sebuah kereta, Mahaguru Meor
Abdul Rahman pun bergerak naik ke Selangor dari Singapura. Ketika Mahaguru Meor
Abdul Rahman sedang mengajar silat di Chow Kit, datang beberapa orang samseng
yang diketuai oleh Mat Lodeh bersama-sama dengan Hasyim Teksi dan beberapa
orang rakannya yang lain. Mat Lodeh lalu memperkenalkan diri mereka,
"Cikgu,
kami semua ni guru silat. Saya Mat Lodeh. Ni Hashim Teksi..."
Lalu dijawab
oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,
"Kalau
nak cerita pasal silat, baik engkau lima orang balik..."
Apabila
menyedari gertakan mereka tidak berhasil, maka samseng-samseng tersebut pun
berlalu dari situ. Tidak berapa lama kemudian, tiba sebuah lori yang dipenuhi
dengan samseng-samseng lain. Begitu pun, Mahaguru Meor Abdul Rahman tidak
berganjak dari tempatnya. Dengan bersenjatakan kapak, Mahaguru Meor Abdul
Rahman telah memberi amaran kepada samseng-samseng tersebut,
"Balik!!!Sebelum
aku mengamuk..."
Menyedari
amukan Mahaguru Meor Abdul Rahman boleh mengakibatkan banyak kemalangan jiwa,
maka samseng-samseng tersebut sekali lagi terpaksa berlalu pergi. Beberapa hari
kemudian, datang pula beberapa orang ketua samseng menemui Mahaguru Meor Abdul
Rahman. Samseng-samseng tersebut dengan lagaknya memberitahu Mahaguru Meor
Abdul Rahman bahawa mereka boleh menumbangkan gajah dengan tumbukan mereka.
Lalu dijawab oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman,
"Hah!
Marilah tumbuk Meor Rahman pula..."
Apabila
terasa diri mereka diperkecilkan, samseng-samseng tersebut tanpa berfikir
panjang terus menyerang Mahaguru Meor Abdul Rahman. Serangan-serangan daripada
samseng-samseng tersebut mudah sahaja dipatahkan oleh Mahaguru Meor Abdul
Rahman. Akhirnya, samseng-samseng tersebut mengaku kalah dan meminta maaf
kepada beliau. Samseng-samseng tersebut telah meminta untuk menjadi murid
Mahaguru Meor Abdul Rahman pula.
Berita
kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman menumbangkan kepala samseng di Kuala
Lumpur telah tersebar dengan cepat. Tidak lama kemudian, Mohd.Razali
Salleh(kemudian menjadi Setiausaha PSSGM) telah tiba di tempat kejadian dengan
menaiki motosikal jenis Lambretta. Roda motosikalnya hampir-hampir tercabut
kerana dipandu dengan laju. Mohd.Razali telah memohon kepada Mahaguru Meor
Abdul Rahman untuk menjadi murid Silat Seni Gayong.
Apabila
Mohd.Razali Salleh memasuki Gayong, Silat Seni Gayong telah dikembangkan di
Selangor melalui persatuan belia. Dewan Belia Kampung Pandan menjadi pusat
latihan terawal di Selangor, manakala gelanggang Gayong terawal terletak di
Kampung Baru, iaitu di belakang rumah Mohd.Razali Salleh. Di Selangor, Gayong
dikembangkan secara mengadakan demonstrasi silat. Beberapa demonstrasi silat
telah diadakan di Kampung Pandan, Damansara(di hadapan adinda Sultan Selangor),
di Dewan Belia Kampung Pandan(di hadapan Datin Paduka Aisyah Ghani, yang juga
menjadi ahli Gayong). Apabila Mohd. Razali Salleh mengambil alih jawatan
Setiausaha Agung PSSGM dari En.Hussein(Kedah), pejabat Gayong telah dipindahkan
ke Dewan Belia Kampung Pandan, iaitu pada tahun 1969.
DATO’PADUKA CHURA SIMANJA KINI
Pada tahun
1971, di atas kegigihan Mahaguru Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni
Gayongnya, beliau telah dikurniakan bintang kebesaran Dato' Paduka Chura
Simanja Kini(DPCM) yang membawa gelaran Dato' oleh DYMM Paduka Seri Sultan
Perak, Sultan Idris Shah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar.
Mahaguru
Dato' Meor Abdul Rahman merupakan orang pertama diletakkan keris Taming Sari di
atas kepalanya, iaitu sebelum beliau dikurniakan anugerah darjah kebesaran
Dato' Paduka Chura Simanja Kini oleh Sultan Perak. Menurut Dato' Meor Abdul
Rahman, keris Taming Sari itu sangat berdaulat kerana sebaik sahaja tamat
upacara penganugerahan tersebut dan apabila beliau telah kembali semula ke
rumahnya, beliau telah diserang seram sejuk yang teramat sangat sehingga
menyebabkan beliau mengamuk dan bertempik tidak tentu arah. Beliau tidak pernah
mengalami perasaan yang sedemikian sepanjang beliau melibatkan diri dalam Silat
Seni Gayong. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman lagi, keris Taming Sari ini telah
diserahkan oleh Sultan Mahmud Shah kepada anakandanya Raja Muzaffar yang hendak
dirajakan di Perak. Sultan Mahmud juga telah menitahkan Raja Muzaffar supaya
menamakan semula negeri Gangga Negara(nama lama Perak) dengan nama Perak,
sempena nama Bendahara Melaka, Paduka Tun Perak.
Pada tahun
1972, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah telah berkenan menjadi
Penaung Agung PSSGM dan Serantau. Baginda juga pernah suatu ketika turun takhta
kerana mengambil Tapak Gayong di hadapan Mahaguru Dato’Meor Abdul Rahman.
Selepas upacara tersebut baginda ditabalkan kembali menjadi sultan. Sultan
Perak mempunyai hirarki paling tinggi di dalam Silat Seni Gayong. Baginda
memakai sandang Seri Mahkota Agong Gangga Cula Sakti dan Seri Tribuana Gangga
Cula Sakti. Hal ini disebabkan Sultan Perak adalah daripada jurai keturunan
Sultan Melaka.
Pada 6 Mac
1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi
Paduka Imam Khalifah dan Penasihat Agung Majlis Tertinggi Adat Istiadat Silat
Seni Gayong Malaysia dan Serantau oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman. Dengan
perlantikan ini, Perdana Menteri Malaysia(berketurunan Bugis) dengan rasminya telah
menjadi murid kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim.
Istiadat pertabalan itu telah diadakan di kediaman Tun Abdul Razak iaitu di
Seri Taman, dengan disaksikan oleh kerabat-kerabat Gayong dari Perak, Kedah dan
Selangor. Tun Abdul Razak kemudian mengakui dan berikrar bahawa anggota-anggota
Gayong adalah "saudara segayong". Beliau juga diterima menjadi
"anak angkat" kepada Dato' Meor Abdul Rahman dan menjadi "abang
angkat" kepada Sultan Perak, Sultan Idris Shah yang menjadi Penaung Agung
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Adat istiadat melantik Tun
Abdul Razak ini diselubungi suasana yang mengandungi unsur-unsur ghaib. Menurut
Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, beliau mengambil Tun Abdul Razak sebagai anak
angkat kerana berlaku beberapa petanda baik semasa istiadat pertabalan itu
dilakukan. Tun Abdul Razak mempunyai beberapa petanda baik yang dapat dilihat
semasa istiadat pertabalan itu dijalankan dan adalah suatu perkara yang luar
biasa dan sukar diperoleh oleh orang lain. Hadir sama di istiadat itu ialah
Imam Khalifah Gayong Selangor, Datuk Harun Idris, Imam Khalifah Gayong Perak,
Datuk Sri Kamaruddin Mat Isa, Imam Khalifah Gayong Pulau Pinang, Tan Sri Hamdan
Sheikh Tahir, Datuk Senu Abdul Rahman(Imam Khalifah Malaysia), Tan Sri Syed
Nasir(Imam Khalifah Malaysia) dan beberapa orang pembesar negara yang
lain.
MENYAHUT CABARAN BRUCE LEE
Pada tahun
1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat
saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed
Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair,
pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong
Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce
Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat
tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong
Kong.
Setelah
memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah
mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat
sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan
silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang
dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika
Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya
adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya
telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972,
serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk
mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee.
Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di
Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul
Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah
menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut.
Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan
murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
Memandangkan
Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce
Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap
berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul
Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk
mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul
Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu
di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman
telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula
mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul
Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu
pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan
tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee
jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce
Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee
menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah
Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut,
akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul
Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa
pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan
telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel
Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau
ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas
Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang
ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai
sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)
Sebenarnya,
sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah
banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri
mahu pun pakar seni bela diri tempatan. Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato'
Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang
mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti
yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan
merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King
Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.
Dato' Meor
Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa
Eropah seperti Donn F. Draeger(1970-an), Ricky "the Dragon"
Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong(1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman,
walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada
kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut. Jan de
Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta
untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh
diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya
diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua
tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan
dan belaan menggunakan senjata simbat(kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah
seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan.
Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah
ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad
Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng
Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut. Ketika melawat
Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya
pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato'
Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya
yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih.
PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI
Dato' Meor
Abdul Rahman juga sangat rapat dengan Sultan Johor, Sultan Mahmood Iskandar
yang berketurunan Raja Bugis. Dato' Meor Abdul Rahman pernah berkereta dengan baginda
Sultan dan sering bertindak sebagai penasihat sultan. Kerana akrabnya hubungan
Dato' Meor Abdul Rahman dengan Sultan Johor, menurut ceritanya, baginda Sultan
Johor pernah bertitah bahawa cuma Dato'Meor Abdul Rahman sahaja yang boleh
menasihati baginda. Dato' Meor Abdul Rahman pernah mempersembahkan berita
penemuan makam Daing Kuning kepada baginda Sultan Johor. Dato' Onn Jaafar
merupakan orang pertama yang dibawa melawat Makam Daing Kuning.
Sewaktu
ditanya tentang lambang Gayong(temuramah di Universiti Malaya pada tahun 1979),
Dato' Meor Abdul Rahman menyatakan,
"Asalnya,
lambang Gayong bernaga satu. (Apabila)Dato' balik dari Singapura ke Taiping,
Dato' kasihankan abang Dato', Meor Aziz yang banyak tolong Dato'. Meor Aziz
tidak belajar silat tetapi cukup faham tentang adat-istiadat. Dato' angkat Meor
Aziz jadi Penasihat Tertinggi(Advisor), ketika di Perak. Dato' dua beradik,
(jadi) tambah satu naga lagi pada lambang Gayong. Yang betul cuma seekor naga
sahaja lahir di dunia. Dato' lahir ke dunia dengan seekor ular yang telah pergi
ke laut melalui Teluk Kertang di Matang, tempat orang Cina dan Melayu berperang
pasal lombong. Ekor naga mengelilingi dunia bermakna Gayong akan terkenal ke
seluruh dunia..."
Ketika
ditanya tentang siapa pewaris Gayong selepas beliau(di Taiping pada tahun
1989), Dato' Meor Abdul Rahman berkata,
"Pesanan
Ungku Syed Zainal, Gayong ini tidak boleh dibagi kepada murid yang tidak
diturunkan(tak mahu belajar). Gayong ini, diwajibkan darah daging kita belajar.
Kalau tidak mahu belajar, cuma hendakkan warisan - tiada warisan! Orang yang
betul-betul jujur mengikut Gayong sekurang-kurangnya 21 tahun, tak putus-putus.
Mengikut Dato' ke darat, ke laut, ke lembah...Cikgu Siti Kalsom - jadi Ibu
Gayong. Dato' datang ke dunia ini untuk Gayong sahaja. Seorang pembantu Dato'
iaitu Ibu Gayong. Gayong akan datang kembali balik semula, yang pangkal balik
ke hujung, yang hujung balik ke pangkal, akhirnya akan bersatu balik. Segayong,
sekendi, seperigi, seminum, sejalan, sejadi, sedarah, sedaging, sepadu. Dato'
tidak turunkan kesemua ilmu Gayong kepada seseorang murid - PERLU
BERCANTUM!"
Mahaguru
Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada pagi 23 Jun 1991,
bertempat di Pusat Perubatan Pakar, Ipoh kerana sakit tua. Jenazah beliau telah
dikebumikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Lama, Taiping.
No comments:
Post a Comment